Fibroid / Ketumbuhan
Ketumbuhan
fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya
pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling
luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah
lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika
seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran
sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah
bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala.
Walau
bagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu
ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat
atau tisu penyambung. Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan
ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita
tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia
akan keluar bersama-sama dengan darah haid.
Darah
haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan
endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya,
campuran ini dinamakan “darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi
'kotor' sebelum ia keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan
tadi.
Mengapa Tumbuh Fibroid?
Ramai
orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan
dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa
ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian
yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum
meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak
semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan
fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan.
Ada
yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di kalangan
wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang berkahwin
tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Saya juga sering menjumpai fibroid
di kalangan wanita yang mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di
samping ketumbuhan fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis,
iaitu sejenis penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim
menyebabkan berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan
persekitaran rahim.
Mana
yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan tidaklah
diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan sering berkait
rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian, wanita yang pernah
beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid. Seringkali kita
lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat
puluhan dan setelah anak mereka besar walaupun mereka telah melahirkan
mungkin empat atau lima orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk
beranak lagi dan beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai
masalah serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami
ketumbuhan fibroid.
Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon
Ada
orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada
ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa
wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya,
estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat
selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga
tempoh haid akan datang.
Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya
jika terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan
seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang
tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan
atau kemandulan.
Sukar
untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak
seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan
oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari
ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika
ada gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal
pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu.
Desakan
dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja
juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal
pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan
penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di kalangan
wanita moden yang bekerja. Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa
ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan,
keracunan ataupun jangkitan kuman.
Apakah Gejala-gejala Fibroid?
Fibroid
mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap
tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan
pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan
fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa
doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid
menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau
gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan
di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan
fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak
perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri
ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas,
ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen. Ketika seseorang wanita
itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang sangat rendah dan
dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan
mencerut.
Gangguan Haid
Saya
telah nyatakan di atas, bahawa tanda yang paling biasa bagi ketumbuhan
fibroid ialah gangguan haid dan di antara gangguan-gangguan yang boleh
menjejaskan kesihatan ialah pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan
ini boleh menyebabkan kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan
seseorang wanita itu mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh
membahayakan kesihatannya.
Bagi
wanita yang mengalami pendarahan yang banyak dan berketul-ketul pula, eloklah
mereka diperiksa dan jika didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya
ialah pembedahan. Walau bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit
ketika haid (senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis
sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita, khususnya
mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah gangguan haid,
mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor, khususnya doktor
pakar sakit puan.
Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan
Fibroid
boleh juga menimbulkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan di kalangan
wanita. Oleh itu, wanita yang lambat berkahwin ataupun setelah beberapa tahun
kahwin dan tidak mendapat anak, perlulah mendapatkan pemeriksaan daripada
doktor pakar untuk mengesan sama ada dia mengalami masalah ketumbuhan dalam
rahim. Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak
boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid dan masih
boleh mengandung.
Tetapi,
di antara masalah-masalah yang boleh timbul akibat ketumbuhan fibroid
terhadap kehamilan ialah ketumbuhan itu jika besar boleh menyebabkan
keguguran ataupun kelahiran sebelum cukup bulan dan kadang-kala menimbulkan
masalah kedudukan bayi yang tidak betul seperti songsang, melintang atau
sebagainya.
Adakalanya ia menyekat kelahiran bayi kerana ketumbuhan itu
terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga punggung.
Wanita yang mengandung dengan fibroid kadangkala mengalami kesakitan kerana
fibroid ini menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, ia mengalami proses
perubahan yang dinamakan degenerasi. Inilah yang menyebabkan kesakitan bagi
wanita yang mengandung dengan fibroid pada rahim.
Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air Kencing
Pundi-pundi
air kencing terletak sebelah-menyebelah rahim,
iaitu pundi-pundi air kencing
terletak di hadapan rahim.
Oleh itu, jika ada sesuatu ketumbuhan, maka
pundi-pundi air kencing akan tertekan. Ketika seseorang wanita hamil,
pundi-pundi air kencing juga tertekan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman.
Akibatnya
seseorang wanita itu sering mengalami masalah kencing seperti kerap-kali
hendak kencing, tidak boleh menahan kencing dan kadangkala wanita juga tidak
boleh mengawal perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan
ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur empat
puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa
peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid.
Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)
Fibroid
kadangkala menyebabkan prolaps atau kekenduran pada rahim. Bagi wanita yang
telah putus haid dan mengalami kekenduran rahim selepas berulang-ulang
melahirkan anak, khususnya mereka yang sukar untuk melahirkan anak, perlu
dibantu dengan alat seperti forseps atau vakum. Keadaan ini akan menjadi
lebih buruk jika ada ketumbuhan fibroid. Dalam hal demikian, rawatan
sewajarnya ialah pembedahan.
Apakah Fibroid Perlu Dirawat?
Seperti
yang saya nyatakan, tidak semua kes fibroid perlu dirawat jika ia tidak
menimbulkan sebarang masalah atau gejala, dan jika ketumbuhan itu kecil
sahaja. Bagi wanita yang menghampiri umur putus haid (biasanya 50 tahun),
fibroid itu akan mencerut dengan sendirinya akibat daripada kehabisan hormon
estrogen. Bagi mereka ini, pembedahan atau rawatan untuk fibroid tidak
diperlukan.
Setakat
ini tidak ada rawatan yang menggunakan ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan
fibroid tetapi ada kemungkinan ubat-ubatan tradisional seperti akar kayu atau
daun-daun yang kemungkinan mempunyai kesan, khusus terhadap rahim yang boleh
mencerutkan ketumbuhan fibroid. Bidang ini masih lagi terbuka luas dan usaha
yang boleh mendapatkan ramuan untuk mencerutkan ketumbuhan fibroid, saya
percaya kemungkinan akan menjadi satu penemuan yang luar biasa.
Fibroid Dirawat Secara Pembedahan
Rawatan
yang khusus bagi fibroid, khususnya yang besar serta menimbulkan masalah
seperti gangguan haid, kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan
gejala seperti gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah
(prolaps) ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira
sebelum seseorang doktor memilih tentang jenis dan kaedah pembedahan. Perkara
yang penting ialah sama ada wanita itu mahu melahirkan anak lagi atau tidak,
dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim (prolaps) atau tidak.
Bagi
wanita yang masih muda dan masih mahu melahirkan anak dan mereka yang
mengalami masalah kesuburan, pembedahan biasanya dilakukan melalui perut di
mana ketumbuhan fibroid sahaja yang perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan
myomektomi. Myoma ialah nama bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan
tersebut dinamakan myomektomi. Kadang-kala seesorang wanita itu boleh
ditumbuhi beberapa fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan myoma yang
saiznya seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis.
Pembedahan
untuk membuang ketumbuhan fibroid atau myomektomi, kadang-kala menimbulkan
masalah jangka-panjang di mana fibroid mungkin tumbuh semula dan menimbulkan
gejala kesihatan yang akhirnya mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di
mana rahim dan ketumbuhan tersebut perlu dibuang sekaligus.
Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Hysterektomi)
Pembedahan
yang mutlak bagi wanita yang menghidap tumbuhan fibroid, khususnya mereka
yang tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi kerana mungkin mereka telah
mempunyai bilangan anak yang cukup ataupun telah menjangkau umur lebih
daripada 40 tahun dan ketumbuhan ini menimbulkan berbagai-bagai masalah
kesihatan, ialah pembedahan hysterektomi. Pembedahan ini dianggap sebagai satu
pembedahan besar dan biasanya seseorang itu perlu tinggal di hospital selama
seminggu. Pembedahan ini memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk pulih
kepada keadaan sediakala.
Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani pembedahan hyisterektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan kejelitaan wanita dan ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan, tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan berhenti. |
Kejelitaan
dan fungsi seksual lebih dipengaruhi oleh hormon estrogen yang dikeluarkan
oleh kilang ovari. Biasanya, dalam pembedahan hysterektomi, kedua-dua kilang
ovari akan dikekalkan walaupun wanita itu telah melebihi umur 40 tahun kerana
kilang ini penting bagi mengekalkan kejelitaan, sifat-sifat kewanitaan dan
juga melindungi kesihatan wanita tersebut. Hubungan seksual antara suami
isteri selepas hysterektomi biasanya tidak akan terjejas, malahan akan
menjadi lebih baik kerana tidak diancam dengan pendarahan yang tidak teratur
serta berpanjangan. Wanita itu akan menghadapi hidup yang lebih selesa tanpa
haid yang luar biasa mengganggunya, dan dia boleh menumpukan lebih masa untuk
beramal ibadah tanpa ada sekatan untuk bersembahyang atau berpuasa kerana
haid tidak akan datang lagi dan hubungan seksual boleh dilakukan pada
bila-bila masa. Keadaan kesihatan akan menjadi lebih baik kerana kehilangan
darah tidak akan berlaku lagi. Pada keseluruhannya, wanita itu akan menjadi
lebih sihat dan sejahtera selepas pembedahan hysterektomi.
Ketumbuhan
fibroid yang wujud bersama dengan prolaps atau kekenduran rahim, biasanya
dirawat dengan pembedahan melalui saluran faraj. Ini bermakna tidak ada parut
akan wujud di bahagian kulit perutnya, sebaliknya kesemua pembedahan akan
dilakukan menerusi saluran faraj. Di samping itu, kekenduran pada saluran
faraj dapat diperbaiki dengan memperkukuhkan otot-otot yang menyokong lantai
punggung dan saluran peranakan. Kaedah pembedahan ini dinamakan vaginal
hysterectomy dan repair. Wanita akan menjadi lebih selesa dalam hubungan
seksual mereka selepas pembedahan ini kerana jika ada kelonggaran berlaku
pada saluran faraj, kesemuanya akan dapat diatasi dengan pembedahan untuk
membetulkan saluran. Di samping itu, otot-otot di sekeliling rahim akan
menjadi lebih kukuh lagi.
|